BERSIWAK

Posted by Farhana & Farhani Azizan at 12:37 AM

Bismillah..Assalamu'alaikum wbkth kepada semua pengunjung.

Beberapa hari yang lepas aku ada membelek buku Fikih Thaharah Dr Yusof Qaradhawi, tiba-tiba aku terjumpa satu bab yang menarik, bawah subjudul Sunnah-sunnah Fitrah. Aku teringin nak berkongsi dengan semua fakta fiqh tentang siwak ni...Happy reading!!

Kata-kata bersiwak dipakai untuk menunjukkan perbuatan. Ia berasal daripada kata Saaka-yasuuku yang bererti menggosok gigi. Ia juga sering disebut sebagai miswak (alat untuk bersiwak).

Bersiwak adalah satu sunnah yang sangat dianjurkan. Baik melalui tindakan ataupun melalui sabdanya. Ini menunjukkan perhatian Rasulullah SAW pada kebersihan gigi, sebab ini akan membuat indahnya pandangan (estetika) dan baunya yang wangi. Lebih dari itu, siwak akan memberi jaminan sihatnya gigi agar tidak berlubang atau terkena penyakit lain jika tidak dipelihara. Dari Aisyah disebutkan bahawa Rasululluah SAW bersabda,
"Siwak itu membersihkan mulut dan membuat Tuhan redha" [HR Ibnu Khuzaimah]

Al Bukhari meriwayatkan dari Anas, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda,
"Aku telah banyak memberikan perintah tentang siwak kepada kalian,"[lihat al-Majmu'(268) dan seterusnya].
Dalam sahih al-Bukhari dan Muslim disebutkan dari Hudzaifah bin Al-Yaman; Sesungguhnya jika Rasulullah SAW bangun dari tidurnya, maka beliau membersihkan mulutnya dengan siwak.
Dalam sahih Muslim disebutkan dari Aisyah; Jika Rasulullah SAW masuk rumah, maka yang beliau lakuka pertama kali adalah bersiwak.

Dari riwayat-riwayat di atas bolehlah diambil kesimpulan bahawa ada beberapa keadaan di mana siwak sangat dianjurkan:
  1. Ketika berwudhu. Wujud perbezaan pendapat dalam masalah ini. Apakah ia merupakan satu sunnah dalam wudhu, atau sunnah secara terpisah? Yang pasti, ia adalah sunnah dalam keadaan apa pun. Sebab Rasulullah SAW bersabda, "Sekiranya aku tidak khuatir membuat umatku mengalami kesulitan, nescaya aku perintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu." Dalam riwayat lain disebutkan, "Pastilah aku fardhukan siwak bersama-sama dengan wudhu." [HR Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim].
  2. Ketika akan solat. Berdasarkan pada hadis sahih, "Sekiranya aku tidak khuatir membuat umatku mengalami kesulitan, nescaya aku perintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali akan melakukan solat."
  3. Bilamana bau mulut berubah kerana sesuatu sebab atau sebab-sebab lain, seperti bangun dari tidur (misalnya). Atau boleh juga kerana makan suatu makanan yang tidak sedap baunya, seperti makan bawang merah atau bawang putih dan yang serupa dengannya. Atau mungkin juga sebab tidak makan atau minum dalam tempoh yang lama (berpuasa), atau kerana diam terlalu lama atau bercakap terlalu lama.
Bersiwak dianjurkan dalam keadaan apa saja, kecuali setelah tergelincir nya matahari bagi seorang yang sedang berpuasa (mengikut pandangan Imam asy-Sayafi'e). Agar tidak hilang bau yang Rasulullah SAW sabdakan,
"Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada bau minyak kasturi di sisi Allah."

DENGAN APA KITA BERSIWAK??

Sebahagian orang menyangka bahawa siwak itu tidak boleh dilakukan kecuali dengan menggunakan pokok "arak". Namun para fuqaha tidak mensyariatkan itu. Asy-Syairazi berkata dalam Al-Muhadzdzab; yang dianjurkan adalah bersiwak dengan menggunakan kayu basah yang tidak gampang copot seratnya (tidak mudah tanggal/tercabut bulu/berusnya). Jangan bersiwak dengan kayu kering yang akan melukai gusi. Boleh juga bersiwak dengan menggunakan lidi yang ada di antara dua lidi (berus). Dengan demikian, boleh sahaja bersiwak dengan apa pun yang boleh menghilangkan sisa-sisa makanan/apa saja yang melekat pada gigi, seperti perca kain yang keras dan lain-lain, sebab, dengan menggunakannya, telah tercapai tujuan pemakaian tersebut (membersihkan gigi dan mulut).

Imam an-Nawawi berkata; Dengan demikian, boleh saja bersiwak dengan sa'd dan asynam (nama jenis tumbuh-tumbuhan) dan yang serupa dengannya. Imam Nawawi menyebutkan perbezaan pendapat tentang bersiwak dengan menggunakan jari jemari. Jika jari jemari itu lembik, maka tiada makna menggunakannya. Jika ianya keras, maka di sana ada beberapa pandangan. Ada sebahagian yang tidak membolehkan, sebab ia tidak boleh dinamakan sebagai 'siwak', pendapat yang mengatakan boleh bersiwak menggunakan jari jemari dengan alasan tindakan itu boleh membersihkan gigi dan mulut atau boleh sekiranya tidak terdapat alat lain untuk bersiwak (lihat al-Majmu', I/281-282).

Ole sebab itu saya (DYQ) melihat bahawa menggunakan berus gigi moden yang disertai dengan ubat gigi, telah cukup menggantikan siwak. Bahkan, 'siwak moden' ini mengandungi banyak bahan yang membantu membersihkan gigi lebih daripada siwak model lama. Apatah lagi Islam sangat memfokuskan perhatiannya pada maksud syariat (tujuan), walaupun sarananya (cara/kaedah) berbeza.

Lebih khusus lagi, sangat tidak mungkin bagi kita mengharuskan seluruh manusia atas muka bumi ini agar memakai siwak yang dibuat dari pokok "arak" untuk membersihkan gigi dan mulut supaya diredhai Allah, sebab, pokok itu hanya boleh didapati di beberapa negara.

Saya (DYQ) ingin mengingatkan bahawa sebahagian kaum muslimin telah melakukan hal yang sangat tidak terpuji dalam menggunakan siwak, di mana mereka selalu membiarkan ianya berada dalam mulut-mulut mereka, kemudian mereka menerima tetamu atau seseorang dengan siwak tetap berada di mulut mereka. Bahkan seringkali mereka menggunakannya di masjid, di mana kemudian gusi mereka mengalirkan darah kerana lemah, sehingga darah itu jatuh ke carpet, ini merupakan satu perkara yang tidak sedap mata memandang, bukanlah termasuk sunnah perbuatan apa pun yang mengotori masjid dengan anggapan bahawa "saya melakukan ini adalah kerana ingin mengaplikasikan syariat".

BAGAIMANA CARA BERSIWAK?

Para fuqaha' telah membahas cara bersiwak ini. Mereka menyebutkan bahawa dianjurkan untuk bersiwak dengan cara melebar dan bukan memanjang agar tidak membuat gusi berdarah dan hendaklah memulakan siwak dari bahagian hujung geraham dan dari sebelah kanan. Dianjurkan untuk bersiwak dengan cara melebar, baik di bahagian luar gigi, ataupun bahagian dalamnya. Sedangkan membersihkan gigi dengan besi atau dengan kikir (sejenis alat seperti alat menghaluskan kuku) maka hal itu sangat dilarang kerana hanya akan melemahkan dan akan membuatnya pecah, sebab ia akan mengeraskan gigi sehingga lapisan kotoran akan semakin banyak melekat pada gigi.

Dari Rabiah bin Aktsam disebutkan; Sesungguhnya Rasulullah SAW selalu bersiwak dengan cara melebar dan minum dengan cara mengisap," [HR al-Baihaqi] (sebagaimana disebutkan Al-Albani dalam Dha'if Al-Jami' Ash-Shaghir-panjang lebar dibahasnya dalam silsilah hadis dhaif, hadis no.945).
Dari Atha' bin Rabah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, "Jika kalian minum, maka hisaplah. Dan jika kalian bersiwak maka lakukanlah dengan cara melebar."[HR Baihaqi dan Abu Dawud], dengan sanad mursal.

Seorang doktor yang sangat terkenal dan dapat dipercayai, Dr. Muhammad Al-Bar, memberi pandangan tentang masalah ini; hadis-hadis yang menyebutkan bahawa bersiwak hendaklah dilakukan secara melintang dan bukannya memanjang adalah lemah sebab hadis-hadis ini adalah hadis mursal di mana perawi sahabat hilang dalam sanad. Namun apa yang dimaksudkan dengan bersiwak dengan cara yang memanjang ini? Para pakar pergigian mengatakan bahawa ketika memberus gigi bahagian atas, hendaklah dilakukan dari bawah ke atas (or vice versa). Para pakar pergigian menamakan bahawa ini adalah siwak dengan "cara memanjang" . Lalu, adakah yang disebut oleh hadis dan pendapat ulama' "melebar" berbeza dengan apa yang disebutkan oleh para doktor atau sama saja maksudnya namun dengan ungkapan berbeza? Panjang dan lebar itu sangat bergantung kepada bagaiman melihatnya. Jika yang dimaksudkan adalah ukuran mulut, maka bersiwak dengan melebar adalah sama dengan apa yang disebutkan oleh doktor pada masa kini (jika dipandang dari panjangnya gigi, maka dari bawah ke atas itu ialah apa yang disebutkan dengan memanjang, namun, jika dilihat dari panjangnya mulut, maka itulah yang disebutkan dengan melebar).

Rujukan: Al-Qaradhawi DR Yusuf. Sunnah-sunnah fitrah-bersiwak. In: Fikih Thaharah, edisi terjemahan. Jakarta: Pustaka al-Kautsar; 2004. hlmn 145-148.

Catatan: dengan sedikit 'edit' ke Bahasa Malaysia.

**Saya akan beri komentar/pandangan saya sendiri berkenaan dengan beberapa hal berkaitan pergigian yang disentuh oleh DYQ (Dr Yusuf Qaradhawi) dalam penulisannya ini, nantikan posting berikutnya.


0 comments: